Sunday, 31 August 2025

PEMIMPIN YANG DILEWATKAN (SIRI KETIGA)

WARKAH KAK HANIM 

Dia Sahabatku... 

Aku masih ingat pertama kali aku bertemu dengan dia. Seorang lelaki yang kelihatan sederhana, tubuhnya tidak sesempurna orang lain, namun senyumannya selalu mendahului setiap sapaan. Walau hanya berkerusi roda.. keupayaannya dalam bekerja sungguh luar biasa. Dari awal lagi aku tahu, dia bukan sembarangan insan.

Hari demi hari kami bekerja bersama. Dia mahir dalam tugasan yang ramai orang anggap sukar. Ketelitian dan kesabaran yang dia ada, membuatkan aku sering kagum. Kadang-kadang aku sendiri terasa malu kerana dia mampu lakukan sesuatu yang aku sendiri tidak yakin boleh selesaikan.

Persahabatan kami semakin rapat. Dia bukan hanya seorang sahabat, tetapi juga seorang adik dan pendengar yang baik. Saat aku dilanda masalah, dialah orang pertama yang hadir dengan kata-kata yang penuh ketenangan. “Tak apa kak,” katanya, “setiap masalah pasti ada jalan keluar. Jangan takut kak, kita hadapi sama-sama.” Kata-kata itu sering jadi penguat semangat untuk aku terus melangkah.

Namun, bukan semua orang dapat melihat keistimewaannya. Ada masa, dia dipandang rendah hanya kerana keadaannya. Pernah sekali, dalam sebuah mesyuarat, ada yang memperlekehkan kemampuannya. Aku melihat wajahnya sedikit terguris, namun dia tidak membalas. Dia hanya diam dan senyum. Tapi aku tahu, dalam diam, dia terluka.

Aku tidak mampu berdiam. Aku berjanji untuk sentiasa berada di sisinya. “Jangan risau nabil.. walaupun kau bukan sapa-sapa dalam hidup akak.. tapi kau tetap adik yang hadir tanpa ada pertalian darah,” aku berkata kepadanya, “akak yakin pada kau. Kita akan buktikan pada semua orang.”

Masa itu akhirnya tiba. Satu projek besar diberikan kepada kami. Ramai yang ragu-ragu, malah ada yang cuba menghalang dia daripada terlibat. Tetapi dengan keyakinan yang penuh, dia terus berusaha. Banyak masa kami habiskan bersama, menyusun strategi, menyiapkan kerja satu demi satu.

Dan akhirnya, kejayaan itu milik kami. Dia berdiri di hadapan semua orang, menyampaikan hasil kerjanya dengan penuh yakin. Semua terdiam, kagum dengan kepakarannya. Saat itu, aku lihat matanya bersinar—bukan kerana pujian, tetapi kerana dia akhirnya membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk berjaya.

Aku tersenyum. Inilah sahabatku. Seorang insan yang mengajar aku erti kesabaran, kekuatan, dan keikhlasan.

Persahabatan kami terus mekar. Dan aku sedar, sahabat sejati tidak diukur pada kesempurnaan tubuh, tetapi pada kesempurnaan hati. Dia, sahabatku, adalah bukti bahawa keikhlasan dan sokongan boleh mengubah dunia.

Kredit : Kak Hanim


No comments:

Post a Comment