LANGKAH NABIL
Nabil, seorang pegawai muda berkerusi roda, melangkah masuk ke dunia pentadbiran organisasi swasta dengan penuh harapan. Sejak awal lagi, dia sedar perjalanan ini tidak mudah. Fizikalnya sering menjadi ukuran, bukan kemampuannya. Namun dia tetap memilih untuk percaya bahawa rezeki Allah lebih luas daripada pandangan manusia.
Hari-hari awalnya kelihatan indah. Rakan-rakan sekerja menyambut mesra, ketua bahagian tersenyum manis, pegawai atasan memuji. Tetapi tidak lama kemudian, Nabil mula merasakan sesuatu yang tidak kena. Senyuman yang dihulurkan tidak sama dengan kata-kata yang berbisik di belakang. Ada yang memandang rendah, ada yang seolah-olah menanti saat dia melakukan kesilapan untuk dijadikan bahan.
Hanya seorang yang benar-benar ikhlas – Kak Hanim. Kakitangan senior itu tidak pernah penat membimbing, menasihati, dan menjadi tempat Nabil meluah rasa. Hubungan mereka seperti adik dan kakak; saling menguatkan dalam ruang kerja yang penuh kepura-puraan.
Nabil menjalani tugasnya dengan tekun. Dia menyediakan laporan, hadir mesyuarat, malah aktif menyertai band jabatan, menghidupkan acara rasmi dengan alunan muzik. Namun semakin lama, semakin jelas permainannya. Ada ketua bahagian yang secara halus menolak peluang Nabil. “Kau buat setakat mampu sudahlah,” kata mereka dengan senyum sinis. Tetapi di hadapan pegawai atasan, dialah yang dipuji melambung.
Kepura-puraan itu menjadi racun senyap.
Suatu hari, Kak Hanim datang dengan wajah berat.
“Nabil… ada perkara aku kena beritahu. Aku dengar sendiri ketua bahagian kita mengadu domba pada orang atas. Katanya kau tak layak, kau menyusahkan.”
Nabil terdiam. Dia menduga, tetapi tidak menyangka benar. “Kenapa baru sekarang Kak cerita?”
“Aku takut kau patah semangat,” jawab Kak Hanim perlahan.
Kata-kata itu menoreh hatinya. Sukarnya berada dalam organisasi yang penuh permainan kuasa. Namun Nabil tidak menyalahkan Kak Hanim. Dia sedar, masing-masing punya cara bertahan.
Akhirnya, Nabil membuat keputusan. Dia berhijrah ke unit lain.
Di tempat baharu, wajah-wajah lebih ramah menyambutnya. Ketua bahagian Encik Tony di situ memberi peluang, mempercayainya mengetuai beberapa aktiviti. Malah takdir mempertemukannya kembali dengan Kak Hanim dalam projek bersama. Walau lega, Nabil tetap berdepan cabaran – kali ini tekanan datang dari pegawai atasan yang melempar tugasan tidak adil, menggunakan kuasa sesuka hati, menekan staf bawahan termasuk ketua bahagian. Integriti seakan menjadi barang murah.
Walaupun tidak pernah dinaikkan pangkat, Nabil semakin dikenali sebagai wakil suara pekerja. Bila rakan ditindas, dialah jurucakap. Bila ada acara jabatan, dia tidak pernah ketinggalan – sama ada bermain muzik bersama band atau sekadar menggerakkan suasana. Ramai yang terinspirasi dengan semangatnya. Nabil menjadi sumber motivasi, walaupun kedudukannya sering dipandang rendah oleh sesetengah pihak.
Namun, keputusan organisasi untuk berpindah ke Negeri Sembilan menjadi titik akhir. Nabil tidak mampu mengikuti langkah itu. Kehidupannya dan fasiliti OKU berakar di ibu kota. Hijrah kali ini bukan kerana kalah, tetapi kerana keadaan. Dengan berat hati, dia mengemaskan meja – ruang yang menyimpan seribu kisah, pahit manis bercampur.
Nabil memilih untuk menyertai sebuah organisasi swasta lain. Bidangnya berbeza – di unit operasi, dunia yang pantas dan mencabar. Hari pertamanya sedikit canggung, namun Allah mengatur sesuatu yang indah. Di pejabat baharu itu, dia bertemu semula dengan Kak Hanim.
Mereka ketawa kecil, seolah-olah masa lalu mengikat kembali.
“Rezeki kita tak pernah putus, Nabil,” kata Kak Hanim.
Bagi Nabil, inilah hijrah sebenar – bukan sekadar meninggalkan yang lama, tetapi melangkah ke ruang yang lebih luas, dengan pengalaman yang menjadikannya lebih kuat.
Perjalanannya belum tamat. Malah, ini baru permulaan.
No comments:
Post a Comment